ALOR SETAR – Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhammad Hazwan Norizan terkilan kerana tidak dapat mengambil hampir kesemua buku dan nota ulang kaji selepas rumahnya di Kampung Alor Ganu di Kepala Batas, di sini ditenggelami banjir.
Menurut pelajar Sekolah Menengah Agama Darussaadah di Titi Besi, di sini, Muhammad Hazwan Norizan, ketika rumah mula dimasuki air pada Khamis lalu, dia sempat menyelamatkan semua barangan sekolah dan meletakkannya di tingkat atas rumah.
“Paras air cepat naik dan untuk SPM, saya hanya sempat ambil satu fail nota ulang kaji dan sepasang uniform sekolah sebelum berpindah ke rumah saudara di Lepai, tidak jauh dari rumah.
“Memang tidak sangka paras banjir kali ini sangat dalam sehingga menyebabkan saya tidak dapat meredah air untuk pulang ke rumah bagi mengambil semua buku dan nota yang tertinggal serta kelengkapan sekolah lain kerana air melebihi paras dada orang dewasa,” katanya di sini hari ini.
Katanya, dia kemudian mengambil inisiatif sendiri dengan mendapatkan nota-nota dari luar dengan mencetaknya menggunakan mesin cetak di rumah saudara.
“Saya bersedia daripada segi mental cuma sedih kerana rasa macam tidak cukup ulang kaji kerana banyak buku dan nota ulang kaji di rumah. Saya rasa tidak lengkap memandangkan perlu menduduki Ujian Bertutur Bahasa Melayu pada esok,” katanya.
Ujarnya, dia bagaimanapun bernasib baik kerana guru-gurunya sangat prihatin dengan sering bertanyakan khabar, selain ditempatkan di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah (SMKAK), di sini pada petang ini.
“Petang ini saya dan kira-kira 80 orang lagi rakan sekolah akan ditempatkan di asrama SMKAK, waktu itu mungkin saya boleh ulang kaji bersama pelajar lain sebelum menduduki peperiksaan di situ,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE