RANTAU PANJANG – Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang di sini hampir berputus asa sehingga pernah terfikir untuk tidak mahu menduduki peperiksaan itu selepas rumah keluarganya di Kampung Gual Machang ditenggelami banjir.
Lebih menjejaskan emosi Nur Arina Mohd. Rozizi, 17 apabila dia bersama ibu bapa dan tiga adik-beradiknya itu terperangkap di dalam rumah mereka selama lima hari dan tidak menerima sebarang bantuan sepanjang tempoh tersebut.
Menurut Nur Arina, kali terakhir dia mengulang kaji pelajaran pada Jumaat lalu sebelum telefon pintar dan tablet miliknya kehabisan bateri apabila bekalan elektrik di kawasan itu terputus.
“Keadaan banjir ketika ini membuatkan saya hampir berputus asa dan pernah terfikir untuk tidak mahu menduduki SPM esok. Saya dan ibu berhempas pulas menaiki bot penduduk melawan arus deras banjir ke Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi untuk menaiki trak Angkatan Tentera (ATM) hari ini.
“Sejujurnya, saya tidak bersedia untuk menduduki SPM kerana tidak banyak mengulang kaji pelajaran. Emosi juga sangat terjejas kerana lima hari terperangkap di rumah dan tiada sebarang bantuan diterima,” katanya ketika ditemui pemberita sebelum menaiki trak ATM di SK Gual Tinggi di sini hari ini.
Nur Arina merupakan salah seorang daripada 189 calon SPM dari SMK Rantau Panjang terjejas banjir yang dipindahkan dengan menaiki trak ATM ke tiga buah sekolah iaitu SMK Pasir Mas, SMK Sultan Ibrahim 1 dan SMK Sultan Ibrahim 2 untuk menduduki peperiksaan esok.
Remaja yang merupakan anak sulung daripada empat beradik itu berkata, seorang rakan baiknya yang juga merupakan calon SPM tinggal di Lubok Stol di sini tidak dapat dihubungi.
Menurutnya, rakannya itu juga tidak kelihatan semasa dia tiba di SK Gual Tinggi di sini untuk menaiki trak ATM.
“Saya tidak tahu nasibnya. Mungkin dia tidak menduduki SPM kerana tiada di sini hari ini,” katanya.
Sementara itu, ibu kepada Nur Arina, Nor Azira Abd. Halim, 38, berkata, dia bersama suami dan anak-anaknya hanya minum air hujan kerana kesemua bekalan makanan sudah habis sejak beberapa hari lalu.
Menurutnya, emosinya juga terganggu apabila memikirkan nasib Nur Arina yang tidak membuat persediaan rapi untuk menduduki SPM.
“Semasa terperangkap di dalam rumah, kami hanya menadah air hujan untuk dibuat minum. Banjir kali ini lebih teruk berbanding tahun-tahun sebelum ini. Bantuan banjir juga tidak sampai.
“Saya berharap Nur Arina cekal dan tawakal menduduki SPM. Saya mahu dia fikir masa depan walaupun ketika ini terjejas banjir,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE