KLUANG – Seorang remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan seorang doktor dan anak lelakinya cedera parah dalam kemalangan, Oktober lalu.
Chung Henry, 18, bagaimana pun tidak mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.
Mengikut Pertuduhan, Chung Henry pada 23 Oktober pukul 4.10 petang bertempat di Jalan Persiaran Seri Impian, Taman Sri Impian di sini daerah memandu sebuah motokar jenis Hyundai Santa FE Nombor pendaftaran BMM 4832 secara merbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan pemandu motokar jenis Perodua Bezza nombor pendaftaran JTP 9079 mengalami kecederaan parah.
Tertuduh turut dituduh atas pertuduhan yang sama kerana menyebabkan penumpang hadapan kenderaan sama mengalami kecederaan parah.
Tertuduh yang juga pelajar sebuah sekolah menengah di Kluang didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Nurfara Fazilun Izylin Ahmad yang mengendalikan pertuduhan memohon ikat jamin dikenakan sebanyak RM20,000.
Bagaimana pun, tertuduh yang diwakili peguam Lim Chin Huat merayu wang ikat jamin dikurangkan kepada RM3,000 memandangkan tertuduh adalah seorang pelajar sekolah selain tiada pendapatan tetap kerana belum bekerja.
Majistret kemudiannya menetapkan 2 Januari 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes dan wang jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh juga diperintahkan menyerahkan lesen memandu kepada pihak mahkamah dan digantung sehingga selesai perbicaraan selain melapor diri kepada balai polis berdekatan sebulan sekali.-KOSMO! ONLINE