KUALA LUMPUR – Penunggang motosikal patah kaki kanan akibat kemalangan dan tercampak ke dalam sungai di Kilometer 4.6 Lebuh Raya Bertingkat Ampang -Kuala Lumpur (AKLEH), di sini, hari ini.
Difahamkan, mangsa bersama isteri dan anak perempuannya ketika kejadian.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pukul 1.26 tengah hari.
Katanya, seramai 10 anggota keluaran Balai Bomba dan Penyelamat Keramat bersama jentera dikejarkan ke lokasi.
“Menurut Komander Operasi PBK II Zainal Abidin Yusof, kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Honda RS150.
“Terdapat tiga sekeluarga iaitu seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa lelaki patah kaki dan tercampak ke dalam sungai manakala isteri dan anak perempuannya mengalami luka kecil.
“Mangsa lelaki berjaya diselamatkan oleh anggota dan dibawa keluar dari sungai.
“Isteri bersama anaknya yang mengalami luka-luka kecil diberi rawatan awal.
“Kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan lanjut,” jelasnya.
Tambahnya, operasi tamat sepenuhnya pada pukul 2.06 petang dan serah tugas sepenuhnya kepada polis untuk tindakan lanjut. -KOSMO! ONLINE.