TUMPAT – Seorang peniaga mengalami kerugian kira-kira RM250,000 selepas sebuah rumah banglo yang dibina sejak tiga tahun lalu musnah akibat arus deras banjir dalam kejadian di Kampung Tujuh, di sini malam kelmarin.
Mohd. Safian Abd. Kadir, 44, berkata, kerugian yang dialaminya itu termasuk keseluruhan peralatan dalam rumah yang turut mengalami kerosakan.
Menurutnya, ketika kejadian dia bersama keluarga berada di rumah ibu mentuanya kira-kira dua kilometer dari rumah.
“Saya hanya mengetahui rumah runtuh selepas dihubungi oleh rakannya yang melihat rumah tersebut hampir roboh akibat arus deras kira-kira-kira 11 malam.
“Saya terkejut dan amat sedih dengan kejadian itu. Saya masih tidak dapat pulang ke rumah kerana air banjir di kawasan itu masih deras,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd. Safian memberitahu, dia bagaimanapun tetap reda dengan kejadian itu dan tidak menjangka rumahnya runtuh kerana kawasan tersebut sebelum ini tidak pernah dinaiki air.
Menurutnya, dia bernasib baik kerana keluarganya termasuk lima anak yang berusia sembilan hingga 18 tahun termasuk salah seorang daripadanya merupakan orang kelainan upaya (OKU) tiada dalam rumah ketika kejadian. – KOSMO! ONLINE