JOHOR BAHRU – Seorang pelajar universiti awam di Melaka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan di Taman Perling, di sini, tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Amirul Akmal kamarulzaman, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hazeelia Muhammad.
Mengikut pertuduhan, pelajar itu didakwa melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual ke atas seorang remaja perempuan berusia 15 tahun.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Taman Perling antara bulan April Hingga Mei, tahun lalu.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak 2017.
Pelajar institut pengajian tinggi awam itu boleh dikenakan hukuman pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat, jika disabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahida Shahudin manakala tertuduh diwakili peguam Mazri Mohamed.
Pihak pendakwaan menawarkan kepada Mahkamah jaminan sebanyak RM20,000 dikenakan terhadap tertuduh dengan seorang penjamin, perlu melapor diri ke balai polis berhampiran, menyerahkan pasport dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Mazri memohon satu jaminan yang rendah memandangkan anak sulung daripada empat beradik itu adalah pelajar sepenuh masa dan hanya ibunya yang bekerja sebagai pembantu tadbir sekolah dengan pendapatan RM2,000 sebulan.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin, perlu lapor diri ke balai polis berhampiran, tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan dan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Tarikh 5 Disember ditetapkan sebagai serahan dokumen.-KOSMO! ONLINE