RAUB – Pahang menjadi negeri terbaharu dilanda banjir apabila 16 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Raub malam semalam.
Difahamkan punca utama kejadian banjir tersebut adalah akibat kepala air yang turun serentak di Sungai Dong dan Sungai Gali.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Raub berkata, seramai 450 mangsa daripada 145 keluarga berlindung di PPS terlibat.
“Antara PPS yang dibuka ialah Balai Raya Kampung Ulu Jelu yang menempatkan 87 mangsa, Balai Raya Kampung Pamah Rawas (8) dan Balai Raya Kampung Bukit Pampong (21).
“Selain itu seramai 141 mangsa berlindung di PPS Masjid Kampung Pintu Padang, Dewan Lechar (78), Dewan Orang Ramai Kampung Tok Machang (98) dan Balai Raya Kampung Peruas (17),”katanya di sini hari ini.
Tambahnya, jumlah terkini mangsa sedang dikemas kini berikutan operasi pendaftaran banjir masih dilakukan.
“Antara PPS yang terlibat dalam operasi pendaftaran banjir yang masih dilakukan ialah Balai Raya Kampung Pamah Kulat, Balai Raya Kampung Kuala Keloi, Pusat Kegiatan Kemas Gali, Dewan Serbaguna Gali Hilir, Serbaguna Kampung Ulu Gali, Dewan Dato Seriwa Pasir Bayam, Masjid Bukit Pampong, Sekolah Kebangsaan Muhammad Jabar, Balai Raya Kampung Sungai Pasu dan Dewan Ulu Gali.