PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan Ops Kesan 3.0 bermula hari ini selaras dengan pelaksanaan pelarasan gaji penjawat awam melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali, berkata, ia dilaksanakan menerusi lima pendekatan antaranya dengan melaksanakan proses pengumpulan data harga dan caj perkhidmatan yang telah bermula pada 1 Oktober lalu.
“Data ini akan dijadikan asas perbandingan harga dan caj perkhidmatan sebelum dan selepas pelaksanaan SSPA.
“KPDN akan mengesan peniaga yang menaikkan harga demi keuntungan berlebihan sekali gus mengekang pencatutan sebaik bermulanya kenaikan gaji penjawat awam,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan selepas menyertai sesi advokasi Berniaga Patuh Kod Etika dan Perundangan (Biz-Berkat), di Sandakan, hari ini.
Dalam pada itu Armizan berkata, KPDN tutut mengguna pakai data-data kutipan harga yang dilaksanakan setiap hari oleh Pegawai Pemantau Harga (PPH) KPDN meliputi sebanyak 480 item sebagai panduan pemantauan sebarang pergerakan harga.
“Kita juga menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) pengurusan aduan- aduan berkaitan dengan caj, harga dan bekalan termasuk tindakan susulan penguatkuasaan perlu dijalankan dalam tempoh 24 jam dari masa aduan diterima,” ujarnya.
Sepanjang pelaksanaan Ops Kesan 3.0 katanya, sebanyak 2,803 premis telah diperiksa di seluruh negara membabitkan 13,209 item.
“Setiap premis yang dilawati telah diberikan notis bertulis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 untuk mendapatkan maklumat awal tentang harga dan perkhidmatan yang ditawarkan.
“Data harga dan perkhidmatan ini akan dijadikan rujukan untuk memantau sebarang pergerakan harga bermula tarikh berkuat kuasanya SSPA,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE