KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menyampaikan dana berjumlah RM20,549,350 juta kepada Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL), pada tahun ini.
Ia melibatkan pelbagai bentuk bantuan seperti wakalah zakat, peralatan pendidikan, dan pembinaan infrastruktur baharu seperti makmal komputer.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, dana berkenaan bertujuan membantu pelajar di KPBKL melanjutkan pengajian mereka dalam pelbagai jurusan pengajian.
“Ia melibatkan peruntukan dana zakat berjumlah RM19.85 juta serta sumbangan berjumlah RM699,350 daripada pelbagai pihak menerusi simbolik penyerahan cek cura pada hari ini.
“85 peratus pelajar terdiri dalam kalangan asnaf dan sumbangan berkenaan diharapkan dapat memberi semangat kepada golongan itu untuk mengubah nasib diri, keluarga dan sekali gus menjadi salah seorang penyumbang zakat pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Karnival Soul Journey Belia Asnaf yang julung kali dilaksanakan dengan kerjasama KPBKL bersempena sambutan ulang tahun ke-50 MAIWP di pekarangan KPBKL, hari ini.
Mohd. Na’im berkata, karnival sehari berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama KPBKL dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat, termasuk belia asnaf, wakil sektor korporat, dan badan bukan kerajaan (NGO).
Pelbagai pengisian telah dilaksanakan sepanjang karnival ini diadakan antaranya sesi motivasi, pertandingan sukan, e-sukan, dan reruai pameran agensi serta syarikat di bawah MAIWP.
Program Soul Journey yang dimulakan pada tahun 2023 bertujuan untuk memupuk jati diri dan memberikan asas keagamaan serta kekeluargaan kepada belia asnaf, khususnya di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE