JAKARTA – Seorang lelaki ditelan seekor ular sawa sepanjang enam meter di daerah Luwu Utara, wilayah Sulawesi Selatan setelah tewas melawan reptilia berkenaan, lapor portal berita Detik Jogja semalam.
Menurut Ketua Kampung Malimbu, Kasrim, mangsa dikenali sebagai Benjo dan berusia 30 tahun. Dia dibaham ular tersebut pada pukul 5.30 petang (waktu tempatan) Selasa lalu.
Ujar Kasrim, setelah pulang daripada membuat pemanis air nira, mangsa bertembung dengan ular itu.
“Dia bergelut dengan reptilia tersebut, menyebabkan ular itu mengalami luka akibat terkena parang,” kata Kasrim.
Tambahnya, setelah mangsa tidak pulang, keluarganya melakukan misi pencarian dan menemui barang-barang milik lelaki tersebut berhampiran ular itu.
Sepupu dan ipar korban yang bimbang kemudian meminta bantuan penduduk sebelum mereka membunuh reptilia itu.
Perut ular sawa tersebut kemudian dibelah oleh penduduk dan mereka menemui mangsa di dalamnya. – AGENSI