SUNGAI BULOH – Seorang lelaki ditahan polis selepas perbuatannya membakar rumah sendiri sehingga merebak ke empat rumah bersebelahan di Kuang, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pukul 7.06 malam.
“Hasil maklumat orang awam di lokasi kejadian, suspek bertindak membakar rumahnya sendiri menyebabkan api merebak ke empat rumah berhampiran.
“Pasukan polis telah diserahkan lelaki berusia 34 tahun yang disyaki terbabit kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Susulan kejadian itu, satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.
“Buat masa ini, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk motif suspek bertindak demikian.
“Suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga Rabu ini,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Azammuddin Mohd Razib di talian 016-5661597.
“Orang ramai diingatkan supaya tidak mengambil tindakan melulu yang melanggar undang-undang dan tangkapan hendaklah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE.