BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah mahu memastikan komunikasi mereka dalam gelanggang dalam keadaan baik sebelum berlepas ke Hangzhou, China untuk menghadapi Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) bermula 11 hingga 15 Disember ini.
Pasangan negara itu telah melayakkan diri ke WTF buat kali ketiga sekali gus bersedia memberikan segala-galanya untuk memberikan yang terbaik tanpa memandang mudah cabaran di pentas berprestij dunia tersebut.
“Ini kejohanan akhir tahun dan sangat penting. Kami hanya ingin saling mengingatkan satu perkara, iaitu nikmati permainan dan berikan yang terbaik. Jangan tinggalkan sebarang penyesalan di gelanggang dan nikmati setiap saat.
“Sebenarnya, ini kali ketiga kami layak. Ia sememangnya satu keistimewaan untuk bermain di salah satu pentas terbesar dunia untuk pemain badminton. Ini kerana hanya lapan beregu teratas yang layak akan berada di Hangzhou,” katanya.
Dalam pada itu, Pearly berharap dapat membawa momentum terbaik di Hangzhou.
“Tahun ini bukanlah musim paling memuaskan, tetapi kami telah banyak belajar. Kami berkembang dengan ketara sebagai pasangan dan yakin mampu melakukan lebih baik.
“Walaupun begitu, kami berpuas hati dengan pencapaian yang diperoleh setakat ini. Saya berharap momentum ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” ujar Pearly.