JOHOR BAHRU – Impian seorang kerani sebuah kedai emas di sini melipat ganda duit simpanannya tidak kesampaian malah mengalami kerugian RM2,656,000 apabila terjerat dalam penipuan sindiket pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, wanita tempatan berusia 49 tahun itu mula terpengaruh dengan iklan pelaburan ditawarkan sindiket di media sosial sekitar akhir Ogos lalu.
Menurutnya, mangsa menekan pautan yang disediakan untuk mendapatkan matlumat lanjut sebelum dihubungi seorang individu menerangkan tentang pelaburan dengan menawarkan pulangan 9 peratus daripada jumlah pelaburan.
“Pada pertengahan Oktober lalu, mangsa membuat percubaan dengan melabur sebanyak RM100,000 dan telah mendapat keuntungan RM12,100 sekaligus mangsa berasa yakin dengan pelaburan tersebut.
“Tanpa berfikir panjang, mangsa telah menambah pelaburan dengan melakukan beberapa transaksi sebanyak RM2,656,000 dari akaun bank miliknya serta pasangannya ke akaun bank scammer,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kumar berkata, selepas tidak menerima pulangan daripada pelaburan yang telah dibuat, mangsa cuba berhubung dengan sindiket namun diarahkan untuk membuat bayaran lain untuk mendapatkan keuntungan dan wang pokok.
Katanya, mangsa berasa curiga dan mengesaki telah tertipu lalu membuat laporan polis di Batu Pahat semalam.
Beliau berkata, polis membuat satu kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE