fbpx

Kenaikan kos penghantaran beri beban kepada pembeli ‘online’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

Daripada makanan hingga pakaian, produk penjagaan diri hingga keperluan rumah, membeli-belah dalam talian sudah menjadi kebiasaan bagi ramai rakyat Malaysia untuk memenuhi keperluan harian dengan mudah.

Walau bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kos penghantaran dilihat semakin meningkat yang mana dahulu ia merupakan sekadar bayaran kecil kini terasa seperti beban yang berat.

Bayangkan, anda ingin beli baju baru untuk sambut Tahun Baru 2025 atau memesan durian segar terus ke rumah, tapi kos penghantaran yang melambung buat anda fikir dua tiga kali sebelum klik butang ‘beli’.

Bagi kebanykan rakyat Malaysia, caj penghantaran kini sudah hampir sama dengan harga barang yang dibeli menjadikan membeli-belah dalam talian kurang menarik.

Ia bukan lagi soal bayar lebih sedikit, namun kenaikan kos ini mula mengubah tabiat membeli-belah, malah mengganggu bajet isi rumah.

Sebagai contoh, seperti seorang graduan baru di Kuala Lumpur, Amira bergantung pada membeli-belah dalam talian untuk menjimatkan wang.

“Dulu saya suka cari tawaran menarik. Tapi sekarang, kos penghantaran selalunya hampir sama dengan harga barang itu sendiri. Kadang-kadang terus tak jadi beli sebab rasa macam membazir.” katanya.

Situasi ini turut dirasai keluarga seperti Faizal di Johor Bahru yang kembali memilih pergi ke kedai fizikal untuk membeli barangan.

“Kami beli-belah dalam talian untuk jimat masa dan wang, tapi bila kos penghantaran terus naik, susah nak rasa berbaloi,” ujarnya.

Realiti itu menunjukkan trend yang makin ketara apabila pembeli mula lebih berhati-hati dan membandingkan harga dengan teliti, atau memilih untuk beli di kedai fizikal demi mendapatkan tawaran yang lebih berbaloi.

Namun, kesan itu bukan dirasai oleh pembeli sahaja, malah perniagaan kecil juga merasai tekanan yang sama.

Perniagaan kecil dan sederhana (PKS) bergantung pada perkhidmatan penghantaran yang murah untuk kekal bersaing.

Apabila kos penghantaran naik, mereka berdepan pilihan yang sukar untuk menyerap kos tambahan sekali gus menjejaskan margin keuntungan atau akan memindahkan kos itu kepada pelanggan yang mungkin menyebabkan mereka lari.

Selain itu, pertimbangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk mengawal selia harga asas perkhidmatan kurier menimbulkan kebimbangan terhadap perniagaan yang sensitif terhadap kos.

Perkara itu telah menjadi perbincangan meluas dalam kalangan pemain industri, termasuk POS Malaysia, yang giat menyuarakan perubahan.

Antara perubahan yang dicadangkan adalah pelaksanaan harga lantai untuk bungkusan, yang disifatkan dapat membantu mewujudkan persaingan yang lebih adil dalam sektor kurier.

Masalah ini boleh memberi kesan besar kepada industri e-dagang di Malaysia sekiranya tiada tindakan diambil kerana kenaikan kos penghantaran boleh menghakis kepercayaan dan aksesibiliti yang menjadi asas kejayaan membeli-belah dalam talian.

Perkhidmatan penghantaran yang mampu milik bukan sekadar kemudahan tetapi adalah keperluan untuk pertumbuhan ekonomi digital negara.

Sehubungan itu, pengguna dan PKS perlu lantang menyuarakan keperluan penyelesaian logistik yang lebih efisien dan berpatutan.

Dalam masa yang sama, pengawal selia dan pemimpin industri harus bekerjasama untuk memastikan persaingan yang adil, sambil menggalakkan inovasi dan mengekalkan kualiti serta kemampuan.

Jika kos penghantaran terus melambung, ia berisiko menghadkan potensi e-dagang di Malaysia kerana perkhidmatan penghantaran mampu milik dan boleh dipercayai adalah asas kepada pasaran digital yang mampan dan terus berkembang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI