SHAH ALAM – Semua pimpinan dan ahli Barisan Nasional (BN) diingatkan tidak menggunakan ketiadaan wang untuk turun berkhidmat serta menyantuni rakyat.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid berkata, ini memandangkan komponen dalam Pakatan Harapan (PH) telah membuktikan kemampuan mereka sehingga berjaya memenangi 82 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Katanya, ini berbeza dengan BN yang dipenuhi dengan kemewahan namun masih belum dapat membentuk kerajaan semula.
“Duit bukan segalanya walaupun segala-galanya memerlukan duit. Jangan guna alasan duit untuk tidak bekerja. Tanya PKR (Parti Keadilan Rakyat), tanya Amanah (Parti Amanah Negara) lebih miskin lagi hingga sekarang. Tanya DAP, duit bukan keutamaan. Berapa kerusi mereka dapat iaitu 82 kerusi dalam PRU.
“Saya tanya dalam rakan-rakan PKR, berapa banyak peruntukkan mereka gunakan untuk pilihan raya bagi semua calon PKR. Hanya satu sumber kewangan sahaja ketika itu yang mereka perolehi mereka menang,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Barisan Nasional (BN) Selangor, hari ini.
Justeru, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menegaskan agar tidak sesekali menggunakan kelemahan itu sebagai alasan untuk kalah.
“Ya, mungkin ada parti komponen dalam BN ada masalah, kalau setakat nak dapat peruntukkan, kita boleh bincang tidak payah bawa dalam ucapan. Ini adik-beradik, kita bincang di bilik tidur buat apa kongsi dengan lain-lain.
“Kalau parti dalam komponen tiada duit, UMNO pun tiada duit. Sama-sama tiada duit, buatlah kerja tiada duit,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau yang merupakan Timbalan Perdana Menteri memaklumkan Barisan Nasional (BN) perlu sebenarnya melihat kerjasama bersama PH mampu menyumbang kemenangan calon-calon BN.
“Ahli parti dalam komponen BN belum tentu dapat memenangkan semua calon BN (begitu juga) ahli parti kita (masing-masing).
“Mereka yang tidak menjadi ahli parti, mereka yang kita tidak sangka adalah rakan-rakan dalam PH adalah faktor baharu dalam memenangkan calon BN,” katanya. -KOSMO!ONLINE