fbpx

Israel langgar perjanjian gencatan senjata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISRAEL menyerang Marjayoun, selatan Lebanon kelmarin. - AFP

TEL AVIV – Tentera Israel melancarkan serangan udara di Lebanon semalam terhadap apa yang didakwa sebagai ‘aktiviti Hezbollah yang menimbulkan ancaman’, beberapa hari selepas gencatan senjata dimeterai antara kedua-dua pihak, lapor akhbar Arab News.

Menurut Rejim Zionis, infrastruktur ketenteraan Hezbollah di sempadan Syria-Lebanon telah diserang. Ia menuduh kumpulan tersebut menyeludup senjata dan melanggar gencatan senjata.

Sebelum ini, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah memberi amaran bahawa tenteranya akan bertindak sekiranya berlaku pelanggaran gencatan senjata.

Dalam satu kenyataan, tentera Israel menyenaraikan empat serangan berasingan ke atas kemudahan, senjata dan kenderaan milik Hezbollah.

Kementerian Kesihatan Lebanon bagaimanapun berkata, satu serangan Israel ke atas sebuah kereta di Majdal Zoun mencederakan tiga orang termasuk seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun.

Agensi Berita Nasional (NNA) milik Lebanon melaporkan pelanggaran gencatan senjata yang berterusan oleh Israel. Ia termasuk insiden di mana sebuah kereta kebal Israel menghancurkan beberapa buah kenderaan dan mengepung sejumlah keluarga.

Keluarga-keluarga itu kemudian dipindahkan oleh Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah.

Antara syarat perjanjian gencatan senjata adalah tentera Lebanon dan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan ditempatkan di selatan negara itu apabila askar Israel berundur dalam tempoh 60 hari.

Hezbollah juga akan mengeluarkan anggota-anggota tenteranya di utara Sungai Litani, kira-kira 30 kilometer dari sempadan dan memusnahkan infrastruktur ketenteraannya di selatan Lebanon. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI