LONDON – Pengurus Chelsea, Enzo Maresca percaya persaingan sengit yang wujud antara pemain akan menghadirkan peningkatan hingga mampu beri kesan positif buat pasukan.
Selepas cemerlang apabila hanya mengalami satu kekalahan dalam lapan aksi terakhir, The Blues akan melayan kunjungan Aston Villa di Stamford Bridge, malam ini.
Bagaimanapun, pengurus itu sedar masih banyak yang perlu ditingkatkan oleh pemain kerana menganggap The Blues berupaya untuk mempamerkan aksi yang lebih baik.
“Kami boleh tingkatkan banyak lagi di mana kami juga sudah pelajari sesuatu daripada aksi dengan Leicester City sebelum ini,” katanya.
Walaupun Maresca baharu saja sertai pasukan kira-kira lima bulan lalu, Chelsea sedang mengungguli carta Liga Konferens Europa dan turut berada dalam kelompok atasan Liga Perdana Inggeris.
Maresca menjelaskan adalah lebih baik beliau memberikan fokus untuk kekal tahap konsisten pasukannya berbanding keterujaan untuk membandingkan apa yang telah dilakukan oleh Pep Guardiola bersama Manchester City dan Mikel Arteta di Arsenal.
“Paling penting adalah bagus untuk melihat ada peningkatan dalam pasukan. Dalam masa sama kami juga perlu realistik untuk melihat jurang antara kami dan pasukan lain,” ujarnya. AGENSI