fbpx

Dua rakan didakwa buat bisnes pinjaman wang tanpa lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMAR (baju biru dua dari kiri) dan Pathamanaban (baju merah bunga dua dari kanan) dituduh menjalankan perniagaan sebagai memberi pinjaman wang tanpa lesen yang sah (along) di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.-Foto BAZLAN IBRAHIM

JOHOR BAHRU – Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tuduhan menjalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen, tahun lepas.

Tertuduh, S. Pathamanaban, 42, dan M. Kumar, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A. Shaarmini.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka menjalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen di Johor Bahru.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bangunan di Jalan Air Molek, pada 13 November 2023.

Pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 kerana menjalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen.

Mereka boleh dikenakan denda antara RM250,000 hingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Afiqah Musa manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam G. K. Sritharan dan Tan Meng Khong.

Dalam prosiding itu, Nor Afiqah memohon kepada mahkamah supaya jaminan ditetapkan RM15,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Sritharan memohon anak guamnya serta rakannya dikenakan jaminan yang lebih rendah kerana kedua-dua tertuduh masing-masing mempunyai tanggungan tiga orang anak yang masih bersekolah dan menjaga ibu bapa yang sudah tua.

“Justeru, saya harap mahkamah boleh menawarkan jaminan kurang RM5,000 kepada anak guam dan rakannya,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 setiap seorang dan menetapkan 17 Disember depan untuk sebutan kes seterusnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI