PETALING JAYA – Penangguhan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan menyebabkan isu kelewatan calon untuk memohon institusi pengajian tinggi (IPT) memandangkan musim tengkujuh dijangka berlarutan sehingga Januari nanti.
Felo Bersekutu, Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Anuar Ahmad berkata, keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk meneruskan SPM seperti dijadualkan adalah wajar dan langkah yang tepat.
Katanya, ia berikutan keputusan yang dibuat berdasarkan data terkini daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Jika kita tangguhkan peperiksaan, kita tak boleh nak jamin bila mereka akan mengambil (ujian) gantian itu dan ia akan menyebabkan isu kelewatan untuk mereka memohon IPT.
“Untuk mengelakkan perkara itu berlaku, KPM telah mengambil kira situasi yang ada dan meneruskan SPM tetapi kalau keadaan tidak lagi terkawal, mungkin KPM akan buat keputusan yang lain,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Pada masa sama, Anuar berkata, tindakan KPM untuk meletakkan calon SPM terjejas banjir di asrama merupakan inisiatif yang terbaik.
Usaha tersebut, katanya, turut melibatkan kebajikan pelajar meliputi makanan serta penyediaan kelengkapan dan keperluan pembelajaran.
“Jadi ibu bapa tak perlu risau dan bimbang tentang keadaan anak mereka. Dari segi bantuan alat tulis dan bahan bacaan semua KPM akan sediakan semasa mereka berada di asrama.
“Difahamkan juga akan ada kaunselor yang akan membantu anak-anak ini kerana kita tahu banjir ini menyebabkan anak ini tertekan untuk berhadapan dengan peperiksaan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE