fbpx

‘Buku basah kena banjir, bising di PPS cabaran buat kami’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Empat calon SPM iaitu Muhammad Zairil (kiri) diikuti Nur Hasmira, Natasha Adila dan Nur Intan Aliesya (dua kiri) membawa kelengkapan sekolah dari PPS SK Gunong ke SMK Alor Janggus di Alor Setar, hari ini. -Foto oleh SHAHIR NOORDIN

ALOR SETAR – Empat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengakui kurang selesa apabila terpaksa mengulang kaji pelajaran di pusat pemindahan sementara (PPS), namun tetap membuat persediaan bagi menduduki peperiksaan itu.

Menurut Muhammad Zairil Bahanordin dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gunong, dia terpaksa berpindah ke Dewan Seri Gunong selepas rumahnya di Alor Gonchar dinaiki air sehingga paras dada sejak Khamis lalu.

“Semua buku basah kena air menyebabkan saya terpaksa pinjam buku dan nota kawan-kawan. Walaupun kurang selesa, saya tiada pilihan selain belajar di PPS ini.

“Gelisah juga nak duduki Ujian Bertutur Bahasa Melayu esok tetapi apa pun saya akan buat yang terbaik. Hari ini guru ambil saya dan tiga lagi rakan di PPS untuk menginap di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Janggus seterusnya menduduki ujian di situ,” katanya ketika ditemui di PPS SK Gunong, di sini hari ini.

Seorang lagi calon SPM dari PPS SK Gunong, Nur Intan Aliesya Zamri berkata, dia turut mengulang kaji pelajaran dengan dua lagi rakan yang menginap di situ.

“Rumah saya di Kampung Pulau Kerengga dinaiki air sehingga paras paha sejak Khamis lalu. Bila di sini saya perlu sesuaikan diri walaupun tidak sama seperti di rumah sendiri.

“Saya belajar di dalam khemah PPS dan kadang-kadang bersama kawan. Insya-Allah esok saya akan buat yang terbaik,” ujarnya.

Sementara itu, Nur Hasmira Najwa Hasan pula berkata, dia juga mencari bahan ulang kaji di internet, selain buku dan nota sekolah.

“Keadaan di PPS yang ramai orang ini macam biasa agak bising, namun saya abaikan semua itu. Petang ini alhamdulillah cikgu ambil kami untuk asrama ke SMK Alor Janggus,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI