SEGAMAT – Sebanyak tiga batang sungai di negeri Johor melepas paras bahaya berikutan hujan berterusan sejak tiga hari lalu ketika musim Monson Timur Laut melanda negara.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Azmi Rohani berkata, antara sungai yang terlibat ialah Sungai Tangkak yang mencatatkan paras sedalam 4.18 meter (m).
Manakala dua lagi sungai terlibat ialah Sungai Sungai Kahang, Kluang (14.69m) dan Sungai Sedili Kecil, Kota Tinggi (2.50m).
“Enam sungai berada dalam keadaan paras amaran iaitu Sungai Muar di Segamat (9.0m), Sungai Kesang di Tangkak (3.27m), Sungai Lenik di Batu Pahat (5.89m), Sungai Jemaluang di Mersing (1.84m), Sungai Punggai di Kota Tinggi (1.43m) dan Sungai Endau, Mersing (2.05m).
“Manakala tiga laluan di Kluang ditutup berikutan digenangi air banjir ialah Jalan Queen Cattle, Jalan Persimpangan Kahang Timur dan Jalan PPNJ,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, sehingga pukul 8 pagi hari ini, jumlah mangsa banjir terjejas meningkat kepada 592 orang berbanding 425 orang direkodkan semalam.
Menurutnya, daerah Tangkak merekodkan seramai 311 mangsa terdiri daripada 98 keluarga yang berlindung di tiga pusat pemindahan sementara (PPS).
“Manakala di Segamat pula, 11 PPS dibuka sejak Jumaat lalu kekal menempatkan 281 mangsa banjir daripada 77 keluarga,”katanya.-KOSMO! ONLINE