SEGAMAT – Jumlah mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini terus meningkat kepada 706 orang direkodkan sehingga pukul 3 petang hari ini.
Menurut statistik yang dikeluarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), angka itu meningkat berbanding 592 mangsa dicatatkan pada pukul 8 pagi tadi.
Di daerag Segamat menyaksikan sebanyak 16 buah PPS dibuka bagi menempatkan 646 mangsa banjir daripada 169 keluarga di empat buah mukim.
Manakala di daerah Tangkak merekodkan penurunan apabila seramai 60 mangsa daripada 20 keluarga masih berlindung di tiga PPS berbanding 311 mangsa direkodkan pada sebelah pagi tadi.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Azmi Rohani berkata, sebanyak tiga batang sungai di negeri Johor melepas paras bahaya berikutan hujan berterusan sejak tiga hari lalu ketika musim Monson Timur Laut melanda negara.
Ujarnya, antara sungai yang terlibat ialah Sungai Tangkak yang mencatatkan paras sedalam 4.18 meter (m).
Manakala dua lagi sungai terlibat ialah Sungai Sungai Kahang, Kluang (14.69m) dan Sungai Sedili Kecil, Kota Tinggi (2.50m).-KOSMO! ONLINE