BANGKOK – Hab ekonomi di selatan Thailand, Hatyai yang menjadi destinasi utama bagi pelancong Malaysia, perlahan-lahan kembali normal selepas dilanda banjir akibat hujan lebat, lapor akhbar Bangkok Post hari ini.
Pekerja-pekerja perbandaran telah mula mengalihkan serpihan dan membaiki jalan di bandar Hatyai selepas banjir akibat hujan dan air terusan yang melimpah, sehingga melumpuhkan bandar utama di wilayah Songkhla itu.
Penduduk keluar pada hari ini untuk membersihkan rumah masing-masing selepas banjir memaksa mereka memindahkan barang berharga ke tempat yang selamat.
Pihak majlis perbandaran menyatakan bahawa keadaan keseluruhan banjir di Hatyai telah bertambah baik.
Dalam pada itu, di tempat lain, banjir berterusan di kebanyakan kawasan di selatan Thailand dengan beberapa bahagian jalan utama masih ditenggelami air, malah tidak boleh dilalui.
Menurut data terkini Jabatan Pencegahan Bencana, angka kematian akibat banjir terburuk dalam beberapa dekad di wilayah selatan Thailand meningkat daripada sembilan kepada 12 orang dengan lebih 640,000 isi rumah terjejas.
Seramai lima orang lemas di Songkhla, tiga di Pattani, dua lagi di Narathiwat dan masing-masing seorang di Phatthalung serta Yala. – AGENSI