KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia untuk mengatur gerak lebih ramai anggota dan pegawai termasuk aset sekiranya bencana banjir semakin teruk.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata, setakat ini, kira-kira 5,600 anggota dan pegawai sudah diatur gerak bagi membantu mangsa banjir.
Menurutnya, ATM yang mempunyai 120,000 anggota secara keseluruhan sentiasa bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan.
“Sekiranya ada keperluan untuk penambahan anggota ataupun aset, perkara ini akan dibuat oleh komander yang berada di lapangan.
“Mereka akan buat kiraan (bergantung) keadaan dan kita akan gerakkan daripada negeri-negeri yang belum terjejas dengan banjir. Jadi, maknanya semuanya telah pun bersedia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Navy Run 2024 bersempena Kuala Lumpur Car Free Morning di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini hari ini.
Program edisi kedua itu yang turut disertai Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain menyaksikan penyertaan lebih 6,000 peserta.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, pihaknya juga bersedia untuk memberi bantuan logistik dan pengangkutan kepada pelajar atau calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Kita akan bantu sama ada daripada segi kenderaan untuk membawa calon SPM. Apa sahaja keperluan akan dibuat oleh negeri masing-masing dan jika perkara tersebut diperlukan daripada ATM, kita bersedia membantu,” ujarnya.
Mengulas mengenai operasi Kolej Tentera Udara di Kepala Batas, Kedah, Mohamad memaklumkan bahawa tiada kem tentera yang terjejas dengan banjir setakat ini.
“Sekiranya berlaku banjir, kita akan hentikan (operasi kem) sementara dan ATM bersedia untuk melaksanakan perkara yang sepatutnya seperti menyelamatkan ahli keluarga, perkakasan dan peralatan yang penting,” jelasnya.
Mangsa banjir di sembilan terus meningkat apabila merekodkan seramai 150,843 orang daripada 45,213 keluarga setakat pukul 9 pagi ini.
Menerusi portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), antara negeri terjejas ialah Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka dan Johor. – KOSMO! ONLINE