Dalam dunia ini, kita berkongsi kehidupan dengan pelbagai makhluk ciptaan Tuhan seperti haiwan, serangga dan tumbuh-tumbuhan.
Spesies haiwan terlalu banyak di muka Bumi ini dan lazimnya pengetahuan kita hanya terhad kepada binatang yang biasa dijumpai seperti kucing, harimau, kuda dan ular.
Hakikatnya, terdapat banyak lagi haiwan yang tidak diketahui kewujudannya, malah dianggap pelik kerana mempunyai rupa menakutkan.
Minggu ini, Panorama kongsikan lima haiwan paling pelik di dunia berdasarkan portal Tropical World.
1- Mexican walking fish
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa ada sejenis ‘ikan berjalan’ yang dikenali sebagai Mexican walking fish.
Ikan ini sebenarnya adalah sejenis Axolotl, yang merupakan amfibia.
Berbeza dengan amfibia lain seperti katak atau newts yang merupakan haiwan dua alam, Mexican walking fish hanya tinggal di dalam air.
Bagaimanapun, ia sudah hampir pupus akibat pembangunan pesat di Mexico City, yang menjadi habitat utamanya.
2- The blue dragon
The Blue Dragon atau nama saintifiknya Glaucus Atlanticus merupakan lintah yang paling mengagumkan di dunia.
Bentuknya menyerupai seekor naga berwarna biru. Ia juga amat digeruni kerana sifatnya yang memakan obor-obor, termasuk spesies Portuguese man o’ war. Sengatannya pula boleh membawa maut kepada manusia.
The blue dragon menyimpan racun daripada haiwan yang dimakannya, seterusnya menggunakan racun tersebut untuk mempertahankan dirinya.
3. Narwhal
Narwhal merupakan seekor haiwan yang mempunyai gading sehingga mendapat julukan sebagai ‘unicorn laut’.
Ia boleh ditemui di perairan Artik dan sekitar Greenland, Kanada dan Russia.
Ia merupakan paus bersaiz sederhana besar dan ikan ini juga bertukar warna mengikut usia.
Narwhal yang baru lahir mempunyai badan berwarna biru kelabu, narwhal dewasa (kelabu), manakala narwhal tua (putih).
4. The living rock
‘Batu Hidup’ atau nama saintifiknya Pyura chilensis merupakan sejenis makhluk penapis di dalam laut.
Ia sebenarnya merupakan hidupan laut yang kelihatan seperti batu.
Biarpun tidak boleh bergerak dengan sendiri, badan batu hidup sebenarnya mempunyai organ dan darah.
Ia boleh ditemui di pantai berbatu di Peru dan Chile.
5. The fish with human teeth (Pacu)
Satu spesies ikan yang merupakan ‘sepupu’ kepada piranha, dikenali sebagai pacu terkenal dengan gelaran ‘ikan yang memiliki gigi manusia’.
Berbeza dengan piranha yang merupakan ikan pemakan daging, pacu hanya makan tumbuhan dan dikenali sebagai ikan vegetarian.
Pacu yang sudah membesar sepenuhnya mempunyai saiz badan lebih besar daripada piranha dengan panjang badan hampir satu meter, manakala berat pula boleh mencecah 25 kilogram.