fbpx

300 calon SPM terjejas banjir di Rantau Panjang berjaya dipindahkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Angkatan Tentera melakukan operasi memindahkan seramai 300 calon SPM yang terkandas akibat banjir di Rantau Panjang hari ini.

PASIR MAS – Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Briged) hari ini berjaya memindahkan seramai 300 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari beberapa buah sekolah di Rantau Panjang di sini yang terkandas akibat banjir.

Kesemua pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang termasuk Maahad Muhammadi Rantau Panjang dipindahkan dengan menaiki trak ke SMK Pasir Mas, SMK Sultan Ibrahim 1 dan SMK Sultan Ibrahim 2.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, Operasi Murni (Op Murni) itu mengambil masa selama lima jam memandangkan pergerakan trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu mengharungi dua lokasi yang ditenggelami air.

Menurutnya, Markas 2 Divisyen telah menambah 12 buah trak dengan berat tanpa muatan (BTM) 7 tan, 5 tan dan 3 tan bagi tujuan tugas itu yang tiba di Kelantan pada pukul 5.00 petang semalam.

“Pelaksanaan operasi itu telah dibincangkan bersama Panglima 8 Briged, Brigadier Jeneral Azudin Hassan dan Pengarah Pendidikan Negeri Kelantan, Datuk Mohd. Zamri Abdul Aziz dengan bantuan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Kelantan.

“Kesemua pelajar yang kebanyakannya tinggal di mukim Rantau Panjang telah dipindahkan dan
kini ditempatkan di tiga buah sekolah berasrama sekitar Pasir Mas. Proses pemindahan itu melibatkan 11 buah trak dan 12 buah bot tempur,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Op Murni itu dijayakan oleh seramai 21 orang pegawai dan 157 orang anggota pasukan 21 Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD), 5 Rejimen Renjer Diraja (RRD), 72 Batalion Kor Perkhidmatan Diraja (KPD), 74 Batalion KPD, 6 Kompeni Angkut KPD dan 8 Kompeni Angkut KPD. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI