IPOH – Seramai 126 orang mangsa banjir di dua buah daerah direkodkan di negeri ini setakat pukul 4 petang tadi.
Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata, daerah terlibat dengan bencana tersebut ialah Taiping yang mana 43 mangsa daripada 11 buah keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Matang Gelugor.
“Sementara di Kinta pula, 38 mangsa (sembilan keluarga) ditempatkan di PPS Dewan Bandaran Kinta Batu Gajah dan 45 mangsa (15 keluarga) di PPS Dewan Orang Ramai Kg. Sri Kinta,” katanya di sini hari ini.
Ujar jurucakap tersebut, dua buah kampung yang terlibat di Taiping ialah Kg. Teluk Kertang dan Kampung Matang Pasir.
Di Batu Gajah pula, katanya, kawasan terlibat banjir ialah Kampung Serani, Kampung Jernih, Kolej Komuniti Batu Gajah dan Kampung Bakap.
“Sebuah lagi kawasan terlibat di Kinta ialah Kampung Sri Kinta,” katanya yang turut memberitahu, PPS juga akan dibuka di Hilir Perak dan Kampar dengan maklumat mengenainya akan dikemas kini memandangkan operasi memindahkan mangsa masih lagi berjalan. – KOSMO! ONLINE