HULU TERENGGANU – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan pihak berwajib supaya memantau lokasi berisiko tanah runtuh pada musim Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.
Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan tragedi tanah runtuh yang menimpa rumah penduduk sehingga meragut nyawa dua beradik di Kampung Bukit Apit, Ajil di sini semalam tidak berulang.
“Kerajaan akan menghantar pasukan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bagi menjalankan kajian di lokasi. Kita mendapati ada laluan air bawah tanah yang dikhuatiri akan mengundang risiko berlaku runtuhan,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Apit di sini hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid meluangkan masa kira-kira setengah jam melawat keluarga Puteri Sajidah Azman,16, dan adiknya, Siti Fatimah,13, yang meninggal dunia selepas dihempap tanah runtuh petang semalam.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati kerana MTL pada tahun ini disifatkan lebih buruk berbanding tahun 2014. – KOSMO! ONLINE