STOCKHOLM – Kalangan ahli zoologi Universiti Gothenburg di Sweden menggesa kerajaan melaksanakan larangan merebus ketam hidup-hidup susulan penemuan yang mengejutkan, lapor portal berita MailOnline semalam.
Gesaan tersebut dibuat selepas mereka dapat membuktikan bahawa ketam boleh merasai kesakitan seperti haiwan lain, bermakna direbus adalah kematian yang sangat menyakitkan.
Penulis utama kajian itu, Eleftherios Kasiouras yang merupakan pelajar ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Gothenburg berkata: “Cara memasak krustasea (ketam) di dalam air mendidih secara hidup-hidup harus diharamkan dan teknik lain wajar digunakan.
“Terdapat lebih banyak bukti yang muncul termasuk penyelidikan kami bahawa ketam merasai kesakitan. Jadi, kita harus melakukannya sama seperti yang kita lakukan pada haiwan lain,” katanya.
Dalam kajian mereka, pasukan penyelidik menggunakan imbasan otak untuk melihat bagaimana sistem saraf ketam bertindak balas apabila terdedah pada rangsangan yang menyakitkan.
Mereka mendapati ketam dapat merasai kesakitan dengan cara yang sama seperti manusia. – AGENSI