fbpx

Ramai nak kahwin, tapi tiada duit, calon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nancy ketika ditemui pemberita pada Majlis Resepsi Mahligai Cinta Perdana, di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Ramai individu bujang terutama golongan muda di Malaysia terpaksa melupakan hasrat untuk berkahwin atau menangguhkan perkahwinan disebabkan masalah kewangan, ketiadaan calon yang sesuai dan fokus kepada kemajuan kerjaya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, berdasarkan dapatan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5), 86.8 peratus individu bujang mempunyai keinginan untuk berkahwin namun disekat dengan faktor-faktor tersebut.

Sebelum ini, statistik Perkahwinan dan Penceraian Malaysia 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), mencatatkan penurunan bilangan perkahwinan sebanyak 12.5 peratus daripada 215,022 pada tahun 2022 kepada 188,100 pada tahun 2023.

Mengulas lanjut Nancy berkata, kecenderungan melewatkan perkahwinan terutama dalam kalangan wanita menyumbang kepada penurunan kadar kesuburan negara yang semakin membimbangkan sekali gus mampu mengakibatkan krisis demografi.

“Kadar kesuburan Malaysia kini hanya 1.7 anak bagi setiap wanita, jauh di bawah paras penggantian populasi iaitu 2.1.

“Ini adalah cabaran besar yang perlu kita tangani kerana ia bukan sahaja melibatkan keluarga, tetapi juga masa depan ekonomi dan sosial negara,” katanya pada Majlis Resepsi Mahligai Cinta Perdana, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nancy berkata, sebagai usaha memperkukuhkan institusi perkahwinan, KPWKM melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) turut menawarkan Kursus Pra Perkahwinan SMARTSTART 2.0 sebagai persediaan melayari alam berumah tangga.

“Kursus ini juga membantu pasangan membuat keputusan yang bijak, memahami peranan masing-masing dan mengatasi konflik keluarga sekaligus mengelakkan perceraian,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI