ISKANDAR PUTERI – Penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan melangkah ke pusingan suku akhir Piala Malaysia dengan agregat 9-0 selepas menewaskan Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) 6-0 di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.
Beraksi di laman sendiri, skuad Hector Bidoglio menunjukkan penguasaan sebaik minit pertama dan berjaya memperoleh gol pembukaan menerusi jaringan sendiri pemain pertahanan lawan, Raffi Nagoorgani pada minit ke-12.
JDT memanfaatkan peluang apabila berjaya menambah jaringan yang dihasilkan oleh pemain pertahanan, Corbin Ong dengan melepaskan rembatan deras menewaskan penjaga gol pada minit ke-32.
Ketika perlawanan menuju penamat, JDT menambah jaringan menerusi gerakan satu dua antara Jese Rodriguez dengan Nazmi sebelum bekas pemain Real Madrid itu mudah menewaskan penjaga gol bagi menjaringkan gol pertamanya bersama JDT.
Bergson Da Silva yang dibawa masuk menggantikan Rodriguez mencipta jaringan pada minit ke-74 sebelum beliau menambah derita buat pasukan pelawat apabila meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-82.
Pada penghujung babak permainan, Mohamadou Sumareh melengkapkan kemenangan bergaya buat pasukan tuan rumah apabila menjaringkan gol keenam pasukan dengan menyungkit bola menewaskan penjaga gol dan menerjah gawang lawan. -KOSMO! ONLINE