ISLAMABAD – Seorang pengantin lelaki di Pakistan mengundang perhatian orang ramai apabila menerima kalungan wang kertas sepanjang 10.66 meter sebagai hadiah daripada abangnya, lapor stesen penyiaran NDTV semalam.
Hadiah istimewa itu diterima semasa majlis perkahwinan yang berlangsung di Bhakkar, beberapa hari lalu.
Rakaman dimuat naik di platform X oleh akaun @MuhammadIlyas-12n menunjukkan kalungan terdiri daripada kira-kira 200 keping wang kertas bernominasi 75 rupee Pakistan (RM1.19) dan 1,700 keping wang 50 rupee Pakistan (RM0.79).
Selain wang kertas, kalungan wang itu juga dihiasi pelbagai bunga serta reben berwarna-warni.
Beberapa tetamu dilihat memakaikan kalungan gergasi itu pada leher pengantin lelaki sebelum merakam gambar.
Rakaman itu menjadi tular dan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
“Semua perkara boleh terjadi di Pakistan,” sindir seorang netizen. – AGENSI