JITRA – Sepasang pengantin terpaksa mengedarkan makanan kepada saudara-mara, penduduk kampung dan pusat tahfiz selepas inap desa disewa untuk melangsungkan majlis perkahwinan di Titi Besi, Kepala Batas ditenggelami banjir, hari ini.
Selain itu, lokasi majlis pasangan Mohamed Khairie Mohamed Kamal, 28, dan Nur Izzatul Asma Mustafa, 22, dipindahkan ke rumah datuk pengantin perempuan di Kampung Hutan Kandis, Alor Setar, dekat sini.
Menurut Nur Izzatul Asma, kenduri di rumah datuknya itu dilakukan secara kecil-kecilan dan hanya dihadiri saudara mara termasuk dari Selangor.
“Makanan untuk jemputan seramai 1,200 orang yang disediakan katering diagihkan ke rumah saudara-mara, orang kampung dan pusat tahfiz kerana bimbang tidak habis,” katanya di sini hari ini.
Katanya, walaupun sedih kerana terpaksa melangsungkan pernikahan pada semalam diikuti kenduri pada hari ini dalam suasana banjir, namun dia reda dengan ketentuan itu.
“Saya berterima kasih kepada tetamu terutama kenalan serta ahli keluarga yang hadir ke kenduri akad nikah pada semalam walaupun terpaksa menaiki bot milik penduduk selain menaiki kenderaan pacuan empat roda,” ujarnya.
Jelasnya, majlis tersebut dirancang sejak Mei lalu dan sudah mengedar kad jemputan selain menempah pelamin, baju pengantin, mak andam, cenderamata yang bernilai kira-kira RM20,000.
“Namun, apa yang kami hasratkan tidak kesampaian apabila rumah keluarga di Kampung Alor Ganu dan inap desa banjir, justeru kami ambil inisiatif membungkus makanan untuk diagihkan kepada orang ramai kerana situasi banjir semakin buruk,” ujarnya.
Katanya, laluan dari Pekan Kepala Batas menghala ke inap desa juga ditutup untuk kenderaan ringan berikutan paras air yang semakin meningkat.
Tambahnya, walaupun sedih dengan apa yang berlaku, namun dia dan suami menganggap perkahwinan mereka itu sebagai hari bersejarah dalam hidup.
“Kami berdua raikan perkahwinan ini dengan mengambil gambar kenangan dengan memakai baju pengantin menaiki bot serta kenderaan pacuan roda berlatar belakangkan kawasan dilanda banjir,” ujarnya yang merupakan seorang kerani.
Sementara itu, pengantin lelaki, Mohamed Khairie berkata, dia terkilan kerana hanya tiga ahli keluarganya dari Simpang Kuala, dekat sini yang dapat menghadiri kenduri akad nikah pada semalam kerana banyak jalan terputus akibat banjir. – KOSMO! ONLINE