SEBERANG PERAI – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menasihati semua majikan supaya bertoleransi terhadap pekerja yang terkesan akibat banjir.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, majikan tidak boleh memotong gaji pekerja sewenang-wenang nya kerana ia tertakluk kepada Akta Kerja 1955 di Semenanjung, dan Ordinan Buruh bagi negeri Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, gaji pekerja tidak boleh dipotong kecuali yang dinyatakan dalam undang-undang contohnya bagi potongan cukai berkala, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perkeso dan sebagainya.
“Oleh itu, kita bersedia membimbing kedua-dua pihak (majikan dan pekerja) bagi memastikan penyelarasan kerja dapat dilakukan sekali gus meringankan beban mereka yang terkesan susulan bencana terbabit.
“Saya minta tampil ke Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan kita sudi untuk memberikan khidmat nasihat kepada kedua-dua pihak agar kita boleh mengekalkan satu keharmonian dan juga memudah cara isu-isu berkaitan dengan pekerjaan di waktu krisis ini
“Bagi kedua-dua pihak yang berada di lokasi dilanda banjir, mungkin mereka boleh telefon, emel atau mesej pegawai-pegawai JTK di tempat masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI (KAM) di Kampung Baru Alma, Bukit Mertajam di sini hari ini.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, seramai 10,000 sukarelawan Wira Kesuma bersedia digerakkan untuk membantu bagi membantu mangsa banjir khususnya di Pantai Timur. – KOSMO! ONLINE