BANDAR RAYA MEXICO – Satu rakaman kamera keselamatan yang menyeramkan menunjukkan dua ekor anjing melolong ketika satu lembaga putih dipercayai hantu muncul, lapor portal berita Daily Mirror semalam.
Klip itu dirakam di Mexico pada 7 November lalu. Ia menunjukkan dua ekor anjing pengawal itu melompat sambil mengeluarkan lolongan.
Selepas beberapa saat, lembaga berpakaian putih dilihat muncul dari kegelapan berhampiran sebuah lori.
Namun, kedua-dua anjing tersebut tidak mendekati lembaga putih itu.
Rakaman itu dikongsi di platform X oleh saluran berita televisyen Mexico.
Menurut saluran TV Azteca, sebahagian penduduk tempatan percaya ia adalah makhluk mitos dikenali sebagai La Llorona yang bermaksud wanita menangis.
Dalam cerita rakyat Mexico, La Llorona berkeliaran berhampiran mayat kanak-kanak yang dilemaskannya.
Terdapat juga netizen yang menganggap rakaman itu hanya menunjukkan seorang individu berpakaian putih. – AGENSI