JOHOR BAHRU – Seorang lelaki etnik Rohingya meninggal dunia setelah tercampak dari kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang dinaikinya bersama tiga rakannya akibat dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX5 dalam kemalangan di Taman Adda Height, Bandar Dato Onn di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi itu, mangsa, Mohd Hassan Nur Mohammad, 40, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada badan dan kepala, manakala rakannya yang merupakan warga tempatan, Subhi Irwan, 30, cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA)
Menurut pemandu Toyota Estima, Adam Ismail, 30, dia bersama tiga rakan sekerjanya dalam perjalanan dari Skudai ke Taman Adda Height untuk menjalankan kerja-kerja mengecat rumah pelanggan di taman perumahan berkenaan.
“Setibanya di persimpangan, sebuah kenderaan meluru laju dari arah kiri lalu merempuh sebelah kiri kenderaan kami. Saya tidak sempat mengelak kerana SUV Mazda itu keluar terlalu laju menyebabkan MPV yang saya pandu berpusing beberapa kali dan melanggar tiang,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Menurut Adam, dia tidak mengalami sebarang kecederaan bersama seorang lagi rakannya juga etnik Rohingya, Sawmi Ullah Nur Mohammad 38 yang duduk di bahagian belakang, manakala wanita yang memandu Mazda CX5 pula tidak mengalami sebarang kecederaan. -KOSMO! ONLINE