fbpx

LBS catat keuntungan empat kali ganda suku ketiga, umum dividen khas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LBS mencatatkan keuntungan one-off selepas cukai sebanyak RM136.9 juta hasil pelupusan pelaburan dalam ZICL yang secara signifikan meningkatkan keuntungan keseluruhan.

PETALING JAYA – Pemaju hartanah, LBS Bina Group Berhad (LBS atau Kumpulan) mencatatkan keuntungan empat kali ganda bagi prestasi suku ketiga yang berakhir pada 30 September 2024.

Disokong oleh operasi berterusan, keuntungan selepas cukai dan kepentingan tanpa kawalan (PATMI) Kumpulan telah meningkat empat kali ganda kepada RM164.5 juta.

Ia juga didorong oleh keuntungan one-off selepas cukai sebanyak RM136.9 juta hasil pelupusan pelaburan dalam Zhuhai International Circuit Ltd (ZICL) yang secara signifikan meningkatkan keuntungan keseluruhan. 

Di samping itu, pelupusan ZICL yang membuka nilai terpendam tanah tersebut bukan sahaja mengukuhkan kedudukan kewangan LBS, tetapi juga membolehkan Kumpulan memberi tumpuan kepada penciptaan nilai jangka panjang.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Datuk Sri Ir. Dr. Lim Hock San berkata, sejajar dengan keuntungan itu, LBS telah mengumumkan dividen khas sebanyak 2.6 sen sesaham yang akan dibayar pada 30 Disember 2024. 

Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Datuk Sri Ir. Dr. Lim Hock San

“Ini mewakili nisbah pembayaran sebanyak 30 peratus daripada keuntungan selepas cukai hasil pelupusan ZICL.

“Untuk mengekalkan momentum pertumbuhan segmen pembangunan hartanah, LBS telah melancarkan Bandar Rimbawan yang berkeluasan 315 ekar pada Oktober lalu. 

“Terletak di Genting Highlands, bandar ini dijangka menghasilkan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM9.5 bilion. 

“Pada masa yang sama, Kumpulan berjaya melancarkan projek kediaman tinggi pertamanya di Bandar Rimbawan iaitu pangsapuri servis Bayu Hills yang merangkumi 642 unit kediaman dengan GDV sebanyak RM453 juta,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, dividen khas itu juga mencerminkan dedikasi berterusan LBS untuk memperkukuh nilai pemegang saham melalui pelupusan strategik ZICL. 

“Di sebalik cabaran untuk mencapai sasaran jualan tahun ini, kami tetap yakin dengan strategi kami dan optimis terhadap prospek masa depan. 

“Bandar mampu milik ini mendapat sambutan baik, ini termasuklah KITA @ Cybersouth dan Alam Perdana Central Hub turut menerima permintaan tinggi serta telah menyumbang kepada jumlah jualan sebanyak RM1.2 bilion setakat 28 November 2024,” katanya.

Sementara itu, Kumpulan juga telah mencapai kemajuan yang signifikan dalam Program Tenaga Hijau Korporat dengan melantik Solarvest Holdings Berhad sebagai kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan penugasan (EPCC) untuk ladang solar 43-MWp di Senawang, Negeri Sembilan. 

“Pada November 2024, Kumpulan memeterai memorandum persefahaman dengan Invest Sabah Berhad, Lembaga Pembangunan Perhutanan Sabah dan Midwest Green Sdn. Bhd.

untuk membangunkan kemudahan pengeluaran hidrogen hijau yang menggunakan kuasa tenaga solar dan angin.

“Kumpulan juga membina sebuah taman perindustrian hijau yang berpotensi di Kota Marudu, Sabah. 

“Kemudahan ini disasarkan untuk menghasilkan 10 gigawatt (GW) tenaga dan menjana lebih 250,000 tan hidrogen hijau setiap tahun dengan keluasan antara 15,000 hingga 30,000 ekar,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI