KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung tindakan seorang pensyarah didakwa menghina Nabi Muhammad SAW ketika berceramah di sebuah konvensyen baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kertas siasatan itu sedang dilengkapkan dan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), Selasa ini.
“Sehingga hari ini (Sabtu), terdapat sembilan laporan diterima polis berkaitan fakta isu ini.
“Selain itu, lima keterangan telah diambil daripada individu yang terlibat secara langsung dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan seorang pensyarah menghina Nabi Muhammad SAW di dalam sebuah konvensyen.
Kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998. – KOSMO! ONLINE