PUTRAJAYA – Pelaksanaan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) oleh rakan strategik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 2023 telah mencatatkan nilai jualan memberangsangkan iaitu berjumlah lebih RM5.5 bilion.
Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan KPDN, Adiratno Che Ani berkata, angka berkenaan menunjukkan peningkatan sebanyak 103.2 peratus berbanding prestasi kempen pada tahun sebelumnya.
Katanya, ia menjadikannya salah satu pencapaian terbesar sejak inisiatif itu dimulakan.
Menurutnya, lonjakan prestasi ini membuktikan sokongan rakyat Malaysia terhadap produk tempatan semakin kukuh.
“Ini adalah perkembangan yang positif dan saya yakin nilai jualan ini pasti akan meningkat dengan adanya penglibatan semua pihak dalam pelaksanaan kempen ini,” katanya ketika melancarkan KBBM anjuran Aeon Big (M) Sdn. Bhd & Aeon Co. (M) Berhad. di Aeon Big Almanda, Putrajaya, di sini hari ini.
Bagi memperkasakan kempen ini jelas Adiratno, pihaknya menggesa rakan strategik untuk terus mempromosikan produk tempatan di premis masing-masing.
“Langkah itu termasuk menyediakan rak eksklusif, pemberian baucar untuk pembelian barangan tempatan, dan memandaatkan dalam talian seperti e-dagang sebagai untuk memperkenalkan keistimewaan produk Malaysia kepada rakyat tempatan dan masyarakat luar negara” ujarnya.
Pihaknya turut menyeru agar lebih banyak usaha dilakukan bagi memastikan produk perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) tempatan lebih mudah ditembusi di pasaran domestik.
Dalam pada itu, beliau berkata, Aeon Big (M) Sdn. Bhd & Aeon Co. (M) Berhad turut mengambil tempat pada tahun ini untuk melaksanakan inisiatif ini setelah hampir dua tahun tidak terlibat dengan kempen ini.
Jelasnya, pencapaian Aeon Co. (M) Berhad pada tahun 2021 berupaya merekodkan nilai jualan berjumlah RM6.3 juta dengan melibatkan 561 jumlah bilangan unit simpanan stok (SKU).
“Pada tahun 2022 Aeon Big (M) Sdn. Bhd pula mencatatkan nilai jualan RM1.07 juta bagi 356 SKU,” katanya. – KOSMO! ONLINE