GUA MUSANG – Lokasi Kilometer 35, Jalan Gua Musang-Jeli di sini ditutup kepada semua kenderaan sejak pukul 10 malam tadi berikutan kejadian mendapatan tanah dikesan berlaku di laluan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, jalan terbabit terpaksa ditutup kerana dibimbangi berlaku pergerakan air bawah tanah akibat cuaca hujan.
Katanya, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah membuat pemantauan dan penilaian malam tadi dan jalan terbabit ditutup sehingga notis baharu dikeluarkan.
“Hasil pemantauan mendapati, jalan itu kelihatan melengkung dan semakin mendap. Kita bimbang berlaku pergerakan air bawah tanah dan laluan itu ditutup buat sementara waktu untuk pihak JKR membuat penilaian.
“Pengguna jalan raya boleh melalui laluan alternatif dengan menggunakan Jalan Jelawang-Sungai Sam untuk ke Gua Musang buat sementara waktu,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.
Choon Foo memberitahu, berdasarkan laporan JKR daerah, kejadian tanah runtuh itu berlaku pada pukul 10 pagi semalam dan ketika itu jalan masih dibuka kepada semua kenderaan. – KOSMO! ONLINE