fbpx

Iconic Worldwide kembali untung RM5.81 juta suku pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lukisan grafik salah sebuah projek hartanah terbaharu Iconic Worldwide di Pulau Pinang.

PETALING JAYA – Iconic Worldwide Berhad (Iconic Worldwide) mencatat keuntungan
bersih RM1.92 juta bagi suku berakhir 30 September 2024 (Suku Pertama 2025) berbanding
kerugian bersih RM5.81 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Pendapatan bagi suku tersebut tumbuh sebanyak 61.53 peratus kepada RM12.32 juta.

Pengerusi Eksekutif Iconic Worldwide, Datuk Seri Tan Kean Tet berkata, pestasi yang memberangsangkan ini didorong terutamanya oleh permintaan kukuh terhadap
Iconic Harmony, projek pembangunan bercampur bertingkat tinggi baharu Kumpulan di Bukit
Mertajam, Pulau Pinang.

Projek tersebut telah dilancarkan pada April 2024, Iconic Harmony merangkumi 751 unit
kediaman dan 16 unit kedai dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM270 juta.

Ia mencatat kejayaan cemerlang dengan kadar pengambilan 70 peratus dalam tempoh
dua hari pelancaran awal.

Kean Tet menerangkan segmen pembangunan hartanah Kumpulan merekodkan keuntungan
bersih RM1.38 juta, berbanding kerugian bersih RM0.3 juta tahun lalu.

“Kami gembira untuk melaporkan kemajuan yang ketara dalam perjalanan pemulihan kami,
didorong oleh permintaan pasaran yang kukuh untuk Iconic Harmony, pembangunan hartanah
terbaharu kami, serta keuntungan segmen pembuatan kami.

“Kejayaan Iconic Harmony membuktikan pengiktirafan pasaran terhadap kekuatan dan keupayaan kami sebagai pemaju hartanah, dan menetapkan asas untuk pencapaian yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Kean Tet menerangkan, dalam segmen pembuatan, syarikat juga telah menghentikan barisan produk yang mengalami kerugian, seperti barisan pengeluaran sarung tangan.

“Kami kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembuatan produk yang menguntungkan seperti lampin.

“Keputusan ini telah membuahkan hasil, dan kami menjangkakan segmen ini akan terus menguntungkan pada masa hadapan.

“Di samping itu, kami akan memajakkan kilang yang lebih besar daripada dua
kilang kami kepada pihak luar, mewujudkan aliran pendapatan baharu melalui pendapatan sewa untuk Kumpulan. Kami menyasarkan untuk mendapatkan penyewa untuk kilang ini menjelang suku pertama tahun 2025,” ujarnya.

Selain itu, beliau menjelaskan, pada bulan Januari tahun depan dan seterusnya, syarikat akan  mengurus sehingga 200 unit Iconic Regency, sebuah kediaman servis di Sungai Nibong.

Ia adalah menara kediaman tertinggi di Pulau Pinang dan bangunan Iconic Regency terletak bersebelahan dengan Iconic Marjorie, sebuah hotel lima bintang di bawah keluarga Tribute Portfolio Marriott International.

“Kami menjangkakan permulaan kontrak pengurusan ini akan mengukuhkan prestasi segmen hospitaliti kami,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI