PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di 11 negeri petang ini.
Menurut MetMalaysia, amaran cuaca buruk sehingga pukul 6 petang itu melibatkan seluruh kawasan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Melaka dan Labuan.
“Amaran ribut petir juga melibatkan Kulim dan Bandar Baharu di Kedah, manakala di Perak melibatkan Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Batang Padang dan Muallim.
“Bagi Pahang pula, amaran ribut petir melibatkan Tanah Tinggi Cameron dan Bentong, manakala di Selangor pula melibatkan Sabak Bernam, Hulu Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat.
“Keadaan sama juga dilaporkan melanda Jelebu, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin di Negeri Sembilan, manakala di Johor melibatkan Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang dan Kota Tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, Sarawak turut menerima amaran sama di Miri (Subis, Beluru, Telang Usan dan Marudi) dan Limbang, manakala di Sabah pula amaran diberikan di Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat, Tawau (Tawau, Kunak dan Semporna), Sandakan (Telupid dan Beluran) dan Kudat.
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 millimeter sejam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. -KOSMO! ONLINE