DOHA – Sergio Perez tetap optimis mampu memulihkan prestasinya bersama Red Bull dan menepis spekulasi tentang masa depannya bersama pasukan tersebut menjelang musim 2025.
Perez menerima kritikan apabila bergelut sewaktu bersaing di Grand Prix (GP) Las Vegas minggu lalu selepas tersingkir seawal sesi kelayakan pertama (Q1) buat kali keenam musim ini.
Bagaimanapun, pemandu berusia 34 tahun itu berjaya bangkit untuk menamatkan perlumbaan di tempat ke-10 dan yakin akan ada perubahan positif dalam baki perlumbaan musim ini.
“Kami semakin hampir menemui rentak yang kami cari sebelum ini. Pelarasan kereta juga semakin baik. Walaupun di Vegas kami kurang kompetitif, terdapat tanda-tanda positif,” kata Perez menjelang perlumbaan di Qatar.
Perez turut mengakui bahawa dia memulakan perlumbaan Formula Satu (F1) dengan baik apabila melakar empat podium berturut-turut dan selepas itu prestasi mereka mula merosot ketika kembali ke Eropah.
“Permulaan musim kami sangat baik, tetapi sebaik kembali ke Eropah, situasi berubah. Pasukan lain semakin kuat dan kami berdepan cabaran dengan kereta. Disebabkan itu, kami kehilangan banyak mata penting.
“Mengenai perjalanan saya musim depan, pasukan tahu apa yang berlaku dan kami tahu di mana kedudukan kami. Kami bekerja keras untuk bangkit semula. Saya yakin sepenuhnya akan kekal di Red Bull musim depan,” katanya. – AGENSI