LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menganggap cuti rehat antarabangsa memberi tuah buat barisan pemain untuk tampil lebih konsisten menjelang perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu West Ham di Stadium London awal pagi esok.
Sebagai rekod, skuad The Gunners telah dibelenggu kemelut prestasi sepanjang Oktober lepas kerana masalah kecederaan sebelum dapat kembali mengganas dengan menewaskan Sporting Lisbon 5-1 dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal minggu ini.
Kata Arteta, sekarang adalah masa terbaik untuk membuktikan kepada pasukan pesaing bahawa Arsenal mampu menjadi pencabar dalam memburu gelaran liga pada musim ini selepas ketinggalan sembilan mata berbanding pendahulu, Liverpool.
“Saya harap segala masalah sudah berakhir selepas cuti rehat antarabangsa kerana sebelum ini, kami hanya mampu menjalani sesi latihan bersama 12 pemain utama dan kini semuanya sudah kembali cergas.
“Misi utama sekarang adalah untuk memastikan pasukan dapat mengekalkan rentak konsisten pada setiap perlawanan yang diharungi selepas merekodkan dua kemenangan berturut-turut ketika ini,” katanya.
Sementara itu, pengendali kelahiran Sepanyol tersebut mengakui sedikit resah selepas pertahanan utama, Gabriel Magalhaes mengalami kecederaan ketika menentang Sporting sebelum ini.
“Gabriel (Magalhaes) mengalami kecederaan tetapi saya tidak tahu sama ada ia serius atau sebaliknya. Cuma, kita tidak akan mengambil sebarang risiko,” katanya. – AGENSI