KETUA jurulatih perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen sedia mencari titik persamaan bagi menghasilkan keputusan positif sebaik memulakan tugas secara rasmi pada 4 Januari depan.
Bekas ketua jurulatih Denmark itu percaya budaya Eropah dan Asia memiliki perbezaan cukup ketara, namun ia mampu menjadi kelebihan buat badminton Malaysia sekiranya mereka mampu mewujudkan keseimbangan daripada perkara tersebut.
Jonassen berkata, beliau sedia mencurahkan segala pengetahuan serta pengalaman dimiliki bagi kembali menaikkan reputasi perseorangan lelaki negara diketuai Ng Tze Yong, Leong Jun Hao dan Justin Hoh.
“Saya sudah tidak sabar untuk bekerjasama dengan pemain-pemain berbakat seperti mereka. Mungkin ia akan mengambil sedikit masa sebelum kami semua mencapai objektif yang sama kerana ada sedikit perbezaan.
“Memang ada jurang antara cara Eropah dan Asia, jadi mungkin memerlukan sedikit masa. Saya percaya jika kami menemui titik persamaan, ia akan menghasilkan sesuatu yang sangat unik dan itulah cita-cita saya,” katanya.
Isnin lalu, Jonassen diperkenalkan secara rasmi sebagai ketua jurulatih perseorangan negara yang baharu dengan misi utamanya membantu skuad kebangsaan membawa pulang pingat emas pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA 2028).
Beliau bukan sahaja akan melatih perseorangan lelaki negara, malah turut menggalas tugas menaikkan semula reputasi skuad perseorangan wanita yang dilihat semakin merudum.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai perancangan beliau untuk Tze Yong, Jun Hao dan Justin, jurulatih berusia 50 tahun tersebut perlu bersemuka dan berbincang terlebih dahulu sebelum menetapkan sebarang sasaran.
“Saya akan berbincang dengan mereka nanti dan saya fikir ia adalah sesuatu yang penting. Kami perlu bertemu dan lihat sendiri apa cita-cita mereka, namun saya harap kami berkongsi matlamat yang sama,” ujarnya.
Sebagai rekod, Jonassen adalah individu bertanggungjawab mengemudi jaguh perseorangan Denmark, Viktor Axelsen memenangi pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan menjadi juara dunia edisi 2017 di Glasgow, Scotland.