PETALING JAYA – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan cadangan untuk menukar semula nama Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada Universiti Pertanian Malaysia.
Cadangan itu sebelum ini dibuat oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu.
Sultan Sharafuddin bertitah, cadangan itu tidak dirujuk kepada baginda selaku Canselor Universiti Putra Malaysia dan juga kepada Lembaga Pentadbir Universiti Putra Malaysia terlebih dahulu.
“Beta telah membaca satu kenyataan dari seorang menteri, Mohamad bin Sabu yang mencadangkan untuk menukarkan semula nama Universiti Putra Malaysia kepada Universiti Pertanian Malaysia.
“Oleh yang demikian, Beta tidak berkenan dengan cadangan tersebut. Di sini Beta menegaskan bahawa nama Universiti Putra Malaysia ini hendaklah dikekalkan kerana Beta telah pun melancarkan jenama Putra yang membawa maksud ‘Pertanian Untuk Rakyat’.
“Kursus-kursus pengajian yang utama di Universiti ini ialah di bidang pertanian, perhutanan, penternakan dan perikanan, kursus-kursus di bidang lain juga ada disediakan di Universiti Putra Malaysia,” titahnya.
Sultan Sharafuddin menzahirkan titah demikian pada Istiadat Konvokesyen UPM ke-48, Sidang Kedua, Sesi Satu di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE