ALOR SETAR – Keadaan banjir yang kian memburuk memaksa Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor meninggalkan kediaman rasminya di Seri Mentaloon, di sini ke kawasan lebih selamat.
Menurut Pegawai Khas Medianya, Helmi Khalid, Muhammad Sanusi bersama keluarga terpaksa keluar dari kediaman rasmi tersebut tengah hari tadi setelah limpahan air Sungai Kedah di belakang Seri Mentaloon semakin tinggi.
“Paras air kian meningkat sejak pagi tadi dan berikutan itu, Menteri Besar bersama keluarga terpaksa berpindah ke kawasan selamat. Setakat petang ini, paras air di Seri Mentaloon sudah dianggarkan mencecah kira-kira satu meter di kawasan tertentu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Akhbar Kosmo! semalam melaporkan mengenai kejadian banjir yang turut melanda Seri Mentaloon dengan kediaman rasmi tersebut dikatakan mula dinaiki air sejak awal pagi semalam.
Difahamkan air dari Sungai Kedah yang terletak di belakang Seri Mentaloon terlebih dahulu melimpah dan memasuki kuarters kakitangan sebelum membanjiri dapur, ruangan makan dan ruang tamu kediaman rasmi tersebut.
Berikutan kedudukannya yang terlalu hampir dengan Sungai Kedah, kediaman rasmi itu pernah beberapa kali dimasuki air antaranya dalam kejadian banjir besar pada 2010 serta September lalu. – KOSMO! ONLINE