HULU TERENGGANU – Seorang lelaki yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh tidak dapat melupakan jeritan dua adik perempuannya meminta pertolongan sewaktu terperangkap di dalam rumah mereka di Kampung Bukit Apit, Ajil di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.59 petang itu, dua beradik, Puteri Sajidah Azman, 16, dan Siti Fatimah, 13, maut dalam insiden runtuhan tanah berkenaan.
Uzair,17, berkata, dia yang ketika itu berada di rumah jiran bergegas pulang sebaik mendengar bunyi dentuman kuat runtuhan tanah menghempap sebahagian struktur kediamanya.
“Abang (Abdul Raziq) yang terselamat berlari meminta pertolongan. Dalam keadaan kelam-kabut saya cuba alihkan batuan yang menghempap adik (Puteri Sajidah) yang sedang mengerang kesakitan. Sewaktu mahu mengalihan batuan yang sangat berat itu, saya tiba-tiba pengsan.
“Dua adik saya di ruang tamu tidak sempat menyelamatkan diri kerana runtuhan tanah tersebut betul-betul menghempap bahagian tersebut. Abang pula terselamat kerana berada dalam bilik yang tidak terjejas,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Panggung, Ajil di sini hari ini.
Sementara itu, abang sulung mereka, Aminuddin berkata, kematian dua adik perempuannya memberi kesan emosi dan trauma buat ibunya, Ruziah Fuad,46.
“Sewaktu kejadian, ibu mereka sedang menjual kuih di Bukit Diman di sini. Ibu memikul tanggungjawab menjadi ketua keluarga setelah arwah ayah meninggal dunia akibat strok pada tahun 2019. Dia dan adik-adik baru menyewa di rumah yang terjejas terbabit sejak setahun lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE