PASIR PUTEH – Pertembungan limpahan hujan dan air pasang besar menyebabkan Perkampungan Nelayan Tok Bali, di sini tenggelam akibat banjir semalam.
Fenomena air laut pasang besar diikuti hujan lebat memaksa 300 penduduk di kawasan tersebut berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Cherang Ruku dan PPS SK Kulim di sini.
Seorang penduduk Perkampungan Nelayan Tok Bali, Abdullah Awang, 50, berkata, kawasan sebelum ini sukar dinaiki air banjir kerana ia terletak di kawasan tinggi.
“Pertembungan limpahan hujan dan air laut pasang besar menyebabkan kediaman kami tenggelam. Ia pernah berlaku semasa musim tengkujuh pada 2022,” katanya.
Sementara itu, Pengawai Jabatan Pertahanan Awam Pasir Puteh, Nik Mohd. Nor Nik Mat berkata, pemindahan nelayan dan ahli keluarga dijalankan pada waktu tengah hari semalam.
Menurutnya, mereka kini berada di PPS SK Cherang Ruku dan PPS SK Kulim berikutan air banjir mencecah satu meter di kawasan rumah mereka. – KOSMO! ONLINE