ALOR SETAR – Sebanyak 14 buah sekolah di negeri ini terjejas akibat bencana banjir sejak Selasa lepas melibatkan dua buah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan lima buah Sekolah Kebangsaan (SK) di Kota Setar serta tujuh SK di Kubang Pasu.
Pengarah Pendidikan negeri, Ismail Othman berkata, kesemua sekolah tersebut ditutup esok dan pelajar serta guru terlibat diarahkan mengadakan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sehingga situasi banjir pulih.
“Sekolah yang terlibat di Kota Setar adalah SMK Seri Gunung, Sekolah Menengah Agama Darussaadah, S.K Suka Menanti, SK Seri Amar Diraja, SK Lengkuas, SK Titi Gajah dan SK Wan Sulaiman Sidiq.
“Sementara di Kubang Pasu adalah SK Dato’ Wan Kemara, SJKC Yit Min, SK Seri Banai, SK Kodiang, SK Kepala Batas, SK Hakim Teh dan SK Bukit Tinggi. Dua daripada sekolah terlibat turut dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir iaitu SK Titi Gajah dan SK Bukit Tinggi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ismail berkata, sebanyak 45 buah sekolah dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu 14 buah sekolah di Kota Setar, Kubang Pasu (16), Sik (tujuh) Padang Terap (enam), Baling (sebuah) dan Yan (sebuah) melibatkan lapan SMK dan selebihnya SK.
Dalam pada itu, katanya, Jabatan Pendidikan Kedah mengenal pasti kira-kira 300 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal menduduki peperiksaan minggu depan terjejas akibat banjir.
Kata beliau, pihaknya akan memastikan semua calon termasuk yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) tidak tercicir daripada menduduki peperiksaan itu yang bermula dengan Ujian Bertutur Bahasa Melayu pada 2 hingga 5 Disember depan.
“Kita ada beberapa alternatif untuk itu antaranya mengenal pasti pusat peperiksaan yang bersesuaian untuk calon berkenaan kelak. Calon yang terjejas banjir juga diberi kelonggaran untuk mengenakan pakaian biasa yang bersesuaian ke pusat peperiksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE